Wednesday, October 13, 2010

////

Permainan Bahasa Dalam Pengajaran Di Sekolah

Permainan Bahasa Dalam Pengajaran Di Sekolah

PENGENALAN
Sesuatu pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih menarik jika guru itu bermotivasi, kreatif dan inovatif dalam menjayakan pengajaran agar ianya dapat mencapai objektif-objektif yang hendak dicapai.
Antara kaedah-kaedah dan pendekatan yang boleh digunapakai dalam pengajaran dan pembelajaran ialah kaedah penerangan, sumbang saran, soal jawab, simulasi, lakonan, nyanyian, nasyid dan sebagainya. Ianya bergantung kepada jenis objektif yang hendak dicapai. Oleh kerana tajuk perbincangan kerja kusus Pengenalan Bahasa Arab adalah berkaitan dengan aplikasi permainan bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab komunikasi sekolah kebangsaan, maka perbincangan mengenai tajuk ini akan menjurus kepada pendekatan permainan bahasa sebagai wadah untuk mencapai matlamat dan objektif bahasa Arab komuniksi sekolah kebangsaan.

1.1 Konsep dan maksud Permainan Bahasa
Permainan bahasa berkonsepkan belajar sambil bermain (study and fun). Iaitu murid-murid didedahkan dengan kaedah permainan dalam proses pembelajaran mereka. Jelasnya bahan bantu mengajar (BBM) yang berbentuk permainan lebih banyak disediakan bagi tajuk-tajuk yang telah dipilih untuk dipraktikan dalam pengajaran. Pendekatan ini diharap akan dapat membantu murid-murid yang lemah dalam pelajaran BAKSK meningkatkan tahap kecerdasan dan keinterlektual mereka. Pendekatan ini akan menjadi lebih mudah diikuti walaupun pelajar tersebut memiliki tahap IQ yang lemah. Ini bermaksud melalui pendekatan permainan bahasa, guru akan menyediakan bahan BBM yang berbentuk set permainan dan ruang masa yang bersesuaian bagi menarik minat dan memotivasikan murid-murid yang lemah dalam pelajaran supaya bersedia menerima pengajaran dan agar dapat memenuhi objektif pengajaran dan pembelajaran yang hendak dicapai pada hari itu.
Michael berman (1981), dalam bukunya Playing And Working With Words menerangkan bahawa pelbagai aktiviti permainan bahasa yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat merangsang suasana pembelajaran.[1] Ini akan mengekalkan tumpuan dan minat murid kepada proses pembelajaran yang sedang berlaku.
Terdapat beberapa pandangan positif, yang berkaitan dengan permainan bahasa yang telah dilontarkan oleh pakar-pakar bahasa seperti Sterling G. Callahan (1971), Midred Mc Closky (1971), Michael A. Lorter (1971), Herbert (1971), Herbert (1968), mereka banyak membicarakan tentang permainan bahasa. Mereka berpendapat, bahawa kesesuaian bahan permainan bahasa itu dapat digunakan di sekolah-sekolah untuk tujuan melatih pelajar secara praktikal dalam latihan membina stuktur perkataan, ayat, perbendaharan kata dan sebagainya[2]. Natijahnya murid akan dapat memperkembangkan potensi yang ada di dalam diri mereka.



Matlamat
Seperti pendekatan-pendekatan atau kaedah yang lain, kaedah permainan bahasa juga mempunyai beberapa matlamat yang hendak dicapai dalam tempoh setahun atau tiga tahun, selepas kaedah tersebut dipraktikkan. Iaitu sejauhmanakah keberkesanan kaedah ini dapat mempertingkatkan prestasi penguasaan bahasa Arab dikalangan murid sekolah kebangsaan. Kaedah permainan bahasa merupakan salah satu instrument yang penting dalam menggarap matlamat pendidikan diantara tujuan permainan bahasa diadaptasikan dalam pengajaran dan pembelajarn adalah seperti berikut ;[3]

(a) Mewujudkan senario pembelajaran yang berlainan daripada Pengajaran dan pembelajaran biasa.
(b) Murid diberi peluang untuk menggunakan bahasa sebagai alat perantaraan bertutur semasa bermain.
(c ) Memberi peluang kepada murid untuk menambahkan lagi perbendaharaan kata mereka.
(d) Mewujudkan suasana pembelajaran yang efisyen. Iaitu Murid dapat berinteraksi antara satu sama lain tanpa rasa malu atau segan dan menimbulkan minat untuk bekerjasama dalam satu kumpulan atau pasukan di dalam mana-mana aktiviti yang akan dijalankan.
(e) Guru mempelbagaikan teknik-teknik di dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa supaya ia lebih menarik dan berkesan.
(f) Naluri ingin tahu dan bermain adalah sesuatu yang bersifat ( natural) semulajadi di kalangan murid. Jesteru itu, dengan pendekatan permainan bahasa diharap suasana pembelajaran akan menjadi lebih menyeronokan dan menyenangkan murid.
(g) Aktiviti bahasa akan dapat mengukuhkan lagi isi pelajaran dan memberi peluang kepada murid mengapliksikannya di dalam situasi yang pelbagai.
(h) Guru dapat membentuk sikap positif yang sihat di klangan murid. Contohnya sikap hormat-menghormati, bantu-membantu, saling bekerjasama, patuh kepada arahan dan peraturan, berani mencuba sesuatu yang baru, mengakui kesilapan diri, menerima kenyataan (sama ada kalah atau menang) secara terbuka dan sebagainya.
(i) Aktiviti permainan merupakan salah satu contoh kepada guru untuk membentuk suasana pengajaran yang lebih mencabar.
(k) Membolehkan murid memperolehi ilmu pengetahuan (knowledge) melalui pelbagai instument seperti melalui proses pemerhatian, perbandingan dan pembinaan.
(l) Kaedah permainan bahasa juga dapat memudahkan tugas guru disamping tidak mengabaikan konsep pembelajaran Murid akan mempunyai daya kreatif, dan daya saing yang sihat disamping inisiatif yang kuat untuk belajar dan menguasai sesuatu permainan.

 Objektif
Pendekatan pengajaran dan pembelajaran menggunakan kaedah permainan ini juga mempunyai beberapa objektifnya yang tersendiri. Antara objektif tersebut ialah ; [4]
(a) Merangsang Interaksi Verbal Murid
Di dalam permainan yang telah dipilih, murid akan diminta bercakap atau mempraktikkan ungkapan-ungkapan tertentu. Disamping itu, mereka juga diminta memberi kerjasama kepada guru di dalam menjayakan permainan bahasa yang akan dilaksanakan dalam Pengajaran dan pembelajaran. Oleh yang demikian, semua pelajar perlulah terlibat secara aktif. Guru perlu memberi rangsangan dan dorongan kepada murid sehingga mereka terasa sumbangan mereka dihargai dan diperlukan di dalam kumpulan. Mereka juga akan bersedia apabila diminta bercakap mengenai sesuatu tajuk. Semua murid akan mengambil bahagian dan saling berkomunikasi antara satu sama lain di dalam kumpulan. Keadaan sedemikian akan menghasilkan suatu suasana pembelajaran yang lebih menarik dan berpusat kepada murid. Guru berperanan sebagai pemudahcara dan mengawal disiplin bilik darjah supaya proses pembelajaran berjalan dengan lancar dan berkesan.


(b) Menambah Kefasihan dan Kefahaman

Jenis permainan yang dipilih seharusnya mempunyai matlamat dan objektif iaitu mempertingkatkan kelancaran dan kefasihan berbahasa serta menambahkan keyakinan diri. Bahasa yang digunakan di dalam sesuatu permainan itu tidak seharusnya terhad kepada beberapa struktur ayat sahaja, bahkan fungsi berbahasa juga boleh dijalankan dalam berbagai peringkat kerumitan berbahasa. Permainan yang mengandungi kegiatan-kegiatan yang memberi arahan misalnya boleh dimainkan kepada semua peringkat bergantung kepada pengetahuan berbahasa dan kefasihan tertentu murid. Murid biasanya akan menjadi lebih seronok apabila berhadapan dengan kaedah permainan yang mencabar. Secara tidak langsung mereka akan menyedari kebolehan dan keupayaan mereka berbahasa dengan menggunakan bahasa yang telah mereka pelajari. Pada waktu yang sama, guru peranan sebagai pemberi maklumat bahasa.

(c) Bertindak sebagai alat mengikis bosan
Perasaan bosan atau jemu adalah salah satu sifat yang normal bagi seorang guru. Begitu juga kepada murid. Mereka akan menjadi lekas bosan, jemu, mengantuk dan lapar apabila menjelangnya waktu tengahari. Apabila berada dalam situasi sebegini seorang guru yang cuba menyampaikan maklumat atau info terutamanya yang berkaitan dengan pengetahuan tatabahasa ataupun aspek berbahasa yang lain akan menghadapi masalah. Ini kerana suasana pada waktu itu amat menjemukan dan membosankan murid. Oleh yang demikian sebagai langkah altenatif kepada permasalahan ini, satu aktiviti pembelajaran yang berbentuk permainan amat sesuai sekali digunakan sebagai satu teknik pengajaran yang berkesan dan reliven pada waktu itu.

(d) Alat Pemulihan, Pengukuhan dan Pengayaan

Pendekatan permainan amat sesuai sebagai instrument pemulihan, pengukuhan dan pengayaan. Jika dilihat kepada ciri-cirinya, pemainan bahasa dapat membantu kumpulan murid yang lemah dari aspek Intelligent Quality (IQ) untuk memahami pendekatan proses pembelajaran. Kumpulan murid yang bermasalah di dalam akademik juga boleh diatasi dengan pendekatan permainan bahasa. Mereka mungkin menghadapi masalah pengamatan, pendengaran, penangkulan atau recall review dan hafazan akan dapat diatasi sedikit demi sedikit dengan melibatkan mereka di dalam aktiviti-aktiviti yang bercorak permainan.

Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Rancangan Kurikulum Sekolah Menengah KBSM (1998)[5] juga telah menyenaraikan beberapa objektif permainan bahasa melalui pengajaran dan pembelajaran. Antaranya ;

(i) Untuk mengukuhkan lagi kecekapan berbahasa dan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis.
(ii) Untuk membolehkan pelajar menguasai kemahiran berbahasa tertentu mengikut keupayaan mereka.
(iii) Untuk mengukuhkan lagi isi pelajaran dan memberi peluang kepada pelajar menggunakan bahasa yang diajar.
(iv) Untuk memperluas dan memperkaya pengetahuan dan pengalaman pelajar dalam bidang bahasa.
(v) Untuk berinteraksi secara tidak formal melalui aktiviti-aktiviti yang telah disediakan sama ada melalui perbicangan atau perbualan semasa bermain.
(vi) Memupuk sikap bekerjasama, toleransi, berdisiplin, sabar dan amanah.


2. Ciri-ciri Permainan Bahasa.

Sebelum seseorang guru itu melaksanakan pendekatan permainan bahasa ini. Guru tersebut mestilah terlebih dahulu mengetahui tahap IQ dan EQ ( Emosional Quality ) murid yang akan diajarnya. Hal ini amat penting supaya set permainan bahasa yang bakal diajar nanti tidak membosankan atau menjemukan murid. Ini kerana tahap pemikiran dan penerimaan murid adalah berbeza antara satu sama lain. Bagi murid yang mempunyai tahap pemikiran cerdas dan pintar, (jenius) pemainan bahasa ini lebih merupakan proses pengukuhan dan pengayaan. Sebaliknya bagi murid-murid yang lemah IQ ianya merupakan satu teknik pemulihan untuk membantu mereka memahami proses pembelajaran.
Pastikan permainan bahasa ini dilaksanakan sebaik sahaja guru sudah memperkenalkan semua perkataan-perkataan yang telah dipelajari oleh murid. Ia mesti dilaksanakan bagi mengukuhkan lagi ingatan dan memupuk minat murid terhadap pembelajaran tersebut.[6] Antara ciri-ciri permainan bahasa yang baik adalah seperti berikut;

2.1. Ciri-ciri umum
(a) Gambar-gambar untuk permainan hendaklah terang dan senang difahami.
(b) Arahan dan peraturan permainan hendaklah jelas dan dapat dipatuhi.
(c) Pelajar yang pandai dan berkebolehan akan membantu guru membaca arahan-arahan permainan.
(d) Jika permainan itu mengunakan kad, sila pastikan ia senang dan mudah dikendalikan, dan perkataan yang tertulis hendaklah terang dan mudah difahami dan dibaca.
(e) Beri perhatian kepada pelajar yang sentiasa tewas dalam permainan. Beri peluang kepadanya sebagai pemerhati untuk jangkamasa yang tertentu.
(f) Pastikan permainan itu mempunyai objektif yag hendak dicapai.
(g) Sebaiknya alat BBM (Bahan Bantu Mengajar) disediakan sendiri oleh guru terbabit. Apa yang penting alat-alat tersebut memenuhi fungsi dan mencapai matlamat.
( h) Hentikan permainan anda ketika pelajar masih lagi terasa seronok dengan permainan itu. Ini penting supaya pelajar tidak jemu untuk permainan seterusnya.

2.2 Ciri-ciri Khusus
(a) Dapat mengukuh dan meningkatkan penggunan bahasa seperti penguasaan empat kemahiran berbahasa iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis.
(b) Mempunyai rangsangan dan bahan yang menarik.
(c) Memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi antara pelajar dengan pelajar, pelajar dengan guru dan tindak balas pelajar dengan bahan.
(d) Dapat merangsang pelajar bertidak balas secara aktif dan positif.
(e) Melibatkan pelajar secara aktif sama ada dalam kumpulan atau kelas.
(f) Mempunyai arahan dan peraturan yang jelas.
(g) Mencabar dan menggalakkan pelajar untuk berfikir secara rasional dan kritis.
(h) Permainan bahasa menyediakan aktiviti ke arah memupuk sikap-sikap positif seperti bekerjasama,berdisiplin, dan berkepimpinan di kalangan pelajar.


3. Kesan-kesan pengunaan kaedah Permainan Bahasa
Kesan-kesan pengunaan kaedah permainan bahasa ke atas murid sekolah kebangsaan dilihat dari dua aspek. Pertama kesan positif dan kedua kesan negatif.

3.1. Kesan Positif ;
i) Murid lebih bermotivasi untuk mengikuti topik yang diajar.
ii) Lebih menyeronokkan dan pembelajaran lebih ceria.
iii) Murid mempunyai tahap keyakinan diri yang tinggi dan berani mencuba sesuatu yang baru.
iv) Empat kemahiran berbahasa iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis dapat dilaksanakan dalam masa yang singkat.
v) Dapat memupuk nilai-nilai murni dan sikap-sikap positif seperti bekerjsama, berdisiplin, dan berkepimpinan di kalangan pelajar.



3.2. Kesan negatif.
i) Permainan memakan masa yang panjang. Guru sukar untuk melaksanakannya kerana peruntukan masa yang terhad..
ii) Murid terlalu leka dengan permainan dan pertandingan sehingga objektif tidak mencapai sasaran sepenuhnya.
iii) Sukar mengawal kelas. Murid akan membuat bising dan mengganggu proses pembelajaran di bilik sebelah.
Iv) Set permainan adakalanya tidak bersesuaian dengan tahap IQ murid.
v) Sukar mendapat alat BBM yang menarik di pasaran kalau ada pun harga terlalu mahal.
vi) Masalah kewangan untuk membeli bahan atau alat permainan yang siap di pasaran.
vii) Alat BBM yang dibina hanya sesuai untuk satu permainan sahaja.
viii) Kekurangan tempat untuk menyimpan alat permainan dengan selamat.


5. KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya. Dapatlah dirumuskan bahawa pendekatan permainan bahasa merupakan satu teknik yang baik. Hal ini kerana ia akan menjadikan proses pembelajaran di sekolah lebih menarik dan praktikal. Bagi guru yang inovatif dan kreatif ia akan mempelbagaikan proses pembelajaran supaya lebih nampak menarik dan menyeronokkan. Dengan kaedah yang digunakan ini akan dapat memberi motivasi kepada murid-murid yang lemah untuk memudahkan mereka mengingati tajuk yang telah diajar oleh guru. Kaedah permainan ini akan sentiasa dinanti-nantikan oleh murid kerana ia amat menyeronokkan dan menghilangkan kejemuan terutamanya di dalam penggajaran yang berbentuk penggunaan tatabahasa atau aspek berbahasa yang lain.

2 Reactions to this post

Add Comment
  1. Nora_Aniza said... March 12, 2014 at 6:25 AM

    blh tak saya nak dapatkan rujukannya

  2. Khairul Affendi said... June 4, 2017 at 10:23 PM

    Artikel yang menarik.
    Permainan Bahasa
    http://affendi.brinkster.net/lingo

Post a Comment

Followers