Saya telah merancang strategi pengurusan tingkah laku bagi menangani tingkah laku bermasalah oleh murid ini. Murid ini gemar menggangu rakan-rakannya ketika guru sedang mengajar. Hal ini menyebabkan beliau tidak menumpukan perhatian pada pengajaran dan juga disisihkan oleh rakan-rakan yang lain. Selain itu, murid ini juga menjadi lebih agresif ketika permintaan atau kata-katanya tidak dipedulikan.
Strategi pertama yang saya cuba lakukan adalah menasihati murid supaya tidak melakukan tingkah laku negatif tersebut. Saya menjadikan rakan-rakannya sebagai contoh untuk beliau ikuti. Saya juga memberi lebih perhatian kepadanya agar beliau merasakan dirinya dihargai. Lebih-lebih lagi, saya turut member peluang kepada beliau untuk melibatkan diri dalam aktiviti. Hal ini menyebabkan timbul kepercayaan dalam dirinya terhadap saya. Bagi menarik perhatian murid ini dalam pengajaran, saya mempelbagaikan bahan bantu mengajar yang menarik.
Selain itu juga, peneguhan-peneguhan turut diberikan untuk memastikan pengekalan tingkah lamu baru. Peneguhan positif diberikan sekiranya beliau melakukan tingkah laku positif. Antara peneguhan tersebut berupa pujian seperti “bagus” atau “baik”. Walau bagaimanapun, saya kurang memberikan ganjaran atau hadiah kerana bimbang murid tersebut akan terlalu bergantung atau berharap pada ganjaran untuk melakukan tingkah laku yang baik.
Peneguhan negatif turut dicadangkan agar murid ini tidak terlalu dimanjakan. Teguran dan nasihat sentiasa diberikan sekiranya masih melakukan tingkah laku negatif tersebut. Di samping itu juga, ketika proses P&P berlangsung, saya memegang tangannya agar murid tersebut menumpukan perhatian terhadap pengajaran dan sekali gus beliau tidak dapat mengganggu rakannya. Saya juga memindahkan tempat duduknya berdekatan dengan saya agar beliau tidak berkesempatan untuk melakukan tingkah laku tidak baik. Hukuman dan pengasingan harus disertakan sekiranya pengulangan tingkah laku yang sama berlaku.
0 Reactions to this post
Add CommentPost a Comment